Pendahuluan

Kelahiran Islam di kota Makkah dan kemunculan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan detik bersejarah kelahiran satu tamadun baru yang telah merubah sejarah dunia. Tamadun ini bukan sahaja telah berjaya merubah corak dan budaya hidup masyarakat Arab Pra-Islam yang bertuankan nafsu dan kejahiliyahan kepada cara hidup baru yang bertunjangkan akhlak dan peradaban tinggi malah ia juga turut merubah geo-politik dunia. Allah mengutus Rasulullah untuk mendidik manusia menjadi makhluk yang berakhlak mulia dan terlepas dari kesesatan. Sebagaimana firman Allah: “Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”. (QS.Al Baqarah:151). Dengan asuhan dan bimbingan Rasulullah s.a.w. dan kemudiannya diteruskan oleh para sahabat (r.a), penduduk Tanah Arab yang terdiri daripada berbagai bangsa dan keturunan berjaya disatukan dengan ikatan akidah dan ukhuwwah Islamiyah. Mereka muncul sebagai satu umat yang berakhlak, berketerampilan dan sedia berkorban demi Islam. Dalam tempoh waktu yang singkat, kuasa besar Rom dan Parsi yang dulunya memandang remeh terhadap bangsa Arab kini terpaksa tunduk kepada kekuasaan Islam.

Oleh itu dari abad ke 7 hingga ke 18 Masihi, dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam. Dalam jangka masa tersebut khususnya pada abad ke 9 hingga ke 13 Masihi, sejarah telah merakamkan bagaimana tamadun Islam telah melahirkan ramai sarjana ulung dalam berbagai ilmu pengetahuan. Pada waktu itu kemajuan ilmu sains dan teknologi serta ilmu-ilmu yang lain yang dimiliki oleh dunia Islam tidak dapat ditandingi oleh mana-mana bangsa atau negara. Di setiap ibu kota pemerintahan Islam khususnya Baghdad (di Asia), Cordova (di Eropah) dan Iskandariah (di Afrika), kegiatan keilmuan dan kebudayaan berlaku dengan bersemarak serta disertai segenap lapisan masyarakat. Ramai sarjana dan pelajar dari negara luar khususnya daripada negara-negara Kristian Eropah datang untuk mempelajari serta mendalami berbagai bidang dan cabang ilmu pengetahuan.


Sumbangan Islam dalam ketamadunan manusia memang tidak dapat disangkal dan dipertikaikan lagi. Banyak hasil kajian dan penyelidikan saintis dan sarjana ulung  Islam terdahulu telah menjadi panduan dan digunakan sehingga kini. Bahkan, ada sebahagian daripada penemuan yang dilakukan oleh saintis Eropah sebenarnya telah lama ditemui oleh saintis Islam lebih awal daripada saintis Eropah. Perkembangan sains dan teknologi yang pesat di dunia pada hari ini merupakan cetusan dan sumbangan daripada Islam. Dunia hari ini terhutang budi kepada Islam dan umatnya. Tamadun Islam yang bertapak sejak zaman Rasulullah SAW terus berkembang pesat sehingga ke seluruh pelusuk dunia. Golongan yang menjadi perintis dan banyak memberi sumbangan kepada kemajuan peradaban dunia hari ini adalah sarjana dan ulama Andalusia. Andalusia disebut sebagai anugerah tamadun Islam kepada kebangkitan Eropah khususnya dan tamadun dunia amnya. 



Tujuan kajian ini adalah untuk memahami dan mengetahui sumbangan, jasa dan juga ilmu  cendiakiwan-cendiakiwan Islam terdahulu dalam bidang sains dan teknologi yang masih digunakan dan bermanfaat sehingga ke hari ini. Banyak hasil daripada sumbangan tokoh-tokoh Islam telah banyak memberi manfaat kepada bukan sahaja umat Islam bahkan kepada seluruh manusia yang hidup di atas muka bumi Allah SWT ini.  Karya-karya tokoh Islam banyak pengaruhi pemikiran ahli falsafah dan pemikiran Barat dan menjadi sumber rujukan utama kepada pelajar di seluruh dunia dari dahulu hingga sekarang. Skop yang ingin dikaji dalam kajian ini lebih kepada bidang sains dan teknologi dan hasil sumbangan mereka kepada peradaban dunia.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts